Biasanya situasi di tempat kemalangan akan ada mangsa yang terbaring menahan kesakitan, manakala orang ramai akan datang membantu. Tetapi berbeza dengan kejadian yang menimpa seorang pelajar di Beijing. Pelajar yang menjadi mangsa kemalangan tersebut masih sempat membaca kamus digital sambil terbaring di tempat kemalangan sebelum bantuan tiba. Katanya, dia berbuat begitu kerana tidak mahu memikirkan kesakitan yang dialami.
BEIJING 7 Mei - Seorang pelajar yang mengalami kecederaan selepas
dilanggar sebuah kereta, cuba menahan kesakitan yang dialami dengan
menghafal perkataan Inggeris dari kamus elektronik, sambil menunggu
kehadiran ambulans.
Laman web Mail Online melaporkan, ketika kejadian, Wang Dafan, 18,
dalam perjalanan ke kelas tutorial, sebelum motosikalnya dilanggar
sebuah kereta di pusat bandar.
Selepas mengetahui kecederaan yang dialami tidak serius, Dafan
mengeluarkan kamus elektronik Gizmo dan mempelajari kira-kira 107
perkataan Inggeris, sambil menunggu kehadiran ambulans.
"Setibanya di tempat kejadian, kami agak terkejut kerana walaupun
cedera dia tetap tekun belajar. Dafan memberitahu saya, dia tidak boleh
membuang masa kerana masa itu emas," ujar seorang jurucakap polis.
Dafan yang memenangi banyak anugerah dalam bidang akademik dan turut
menerima biasiswa hanya mengalami cedera ringan di tangan, kaki dan
kepala dalam kemalangan itu.
"Mempelajari perkataan Inggeris begitu membantu saya untuk melupakan
kesakitan yang dialami. Kemalangan itu turut mengingatkan saya bahawa
hidup ini terlalu singkat dan pelajaran amat penting dalam mengubah
hidup seseorang," kata Dafan.
Pelajar Universiti Capital Normal itu, bercita-cita mahu menyambungkan pelajarannya ke Universiti Oxford atau Cambridge. - Utusan Online
Baca seterusnya...