Apa itu virus Mers-Cov ? Bagaimana virus Mers-Cov boleh berjangkit ? Siapa yang mudah terdedah dengan virus Mers-Cov?

PENYELIDIK di Britain dan Arab Saudi mendakwa sehingga kini mereka
gagal menemui jawapan bagaimana Virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah
(Mers) tersebar secara meluas di rantau Timur Tengah dan beberapa negara
Barat.
Menerusi laporan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet,
saintis menyatakan mereka telah melakukan penyelidikan ke atas sampel
yang diambil daripada 21 pesakit di Arab Saudi.
Mereka turut mengecualikan kelompok kes di bandar timur al-Hasa dan
hanya memberi tumpuan terhadap penyebaran wabak itu di ibu negara Saudi.
"Keputusan kajian ini jelas menunjukkan Riyadh sebagai pusat utama
penyebaran virus pembawa maut itu dan ia hanya merebak sekali sekala ke
kawasan lain," jelas laporan itu lagi.
Penyelidikan tersebut juga sekali lagi mengulangi teori bahawa virus
Mers-CoV itu mungkin disebarkan oleh haiwan kepada manusia.
Sejarah genetik virus itu menunjukkan jangkitan berulang telah berlaku,
namun sumber utama virus tersebut yang menjangkiti haiwan masih tidak
dapat dikenal pasti hingga kini.
Cara penyebaran lebih rumit
Susulan daripada itu, beberapa ujian telah dijalankan ke atas haiwan mamalia seperti unta, kelawar dan kambing di Saudi.
Bagaimanapun, sampel yang diperoleh di Riyadh menunjukkan kepelbagaian genetik Mers-CoV secara meluas.
Hal ini bermakna virus itu disebarkan melalui sumber haiwan dari tempat lain yang kemudiannya disebarkan ke kawasan terbabit.
Beberapa pakar berpendapat kawasan di ibu negara Saudi lebih terdedah
kerana ia merupakan pusat populasi terbesar di negara tersebut.
Profesor Alimuddin Zumla dari Universiti Kolej London yang turut sama
membantu penyelidikan Lancet berkata, cara virus itu tersebar sebenarnya
lebih rumit daripada apa mereka
jangkakan.
“Ia mungkin melibatkan ‘pengantara’ kerana kebanyakan kes yang dikenal
pasti menunjukkan pesakit tidak mempunyai hubungan dengan haiwan secara
langsung.
Menurutnya lagi, sumber sebenar virus Mers tersebut masih tidak jelas
dan beberapa hipotesis yang dibuat menunjukkan ia mungkin disebarkan
oleh makanan.
Sehingga 18 Oktober lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan
sebanyak 139 kes dan 60 kematian akibat Mers direkodkan di seluruh
dunia.
Bagaimanapun, 119 daripada kes jangkitan itu termasuk 51 kematian
dilaporkan di Saudi iaitu selepas virus misteri tersebut dikenal pasti
untuk pertama kali oleh ahli virologi Mesir, Dr Ali Mohamed Zaki pada 24
September 2012.
Bermula dengan selesema biasa
Jumlah kematian yang semakin meningkat di negara itu menyebabkan banyak
pihak mula bimbang dengan nasib jutaan jemaah haji pada tahun ini.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa kesihatan di Timur Tengah
telah menghantar kumpulan sokongan untuk memberi penerangan kepada
jemaah tentang tindakan perlu diambil jika berasa kurang sihat selepas
kembali dari Saudi.
Difahamkan, sukar untuk mengenal pasti simptom awal jangkitan virus
Mers tersebut kerana ia hanya bermula dengan selesema biasa.
Dalam usaha untuk mengesan penyebaran virus tersebut, WHO telah
menubuhkan Jawatankuasa Peraturan Kesihatan Kecemasan Antarabangsa.
Jawatankuasa itu juga mendapati amaran tahap tinggi tidak perlu
dikeluarkan seperti ketika penularan wabak Sars, H5N1 dan selesema babi
di beberapa negara sebelum ini.
Ketua teknikal penyelidikan Mers di Geneva, Dr Anthony Mounts berkata,
tiada laporan menunjukkan virus itu merebak dalam kalangan masyarakat
kerana ia hanya menjangkiti kaki tangan perubatan yang berhubung secara
terus dengan pesakit.
"Kami tidak akan berputus asa untuk mengenal pasti punca virus ini,
namun apa yang jelas ia tiada kaitan dengan Sars," jelasnya lagi. - sumber Sinar Harian 21 Okt 2013
Baca seterusnya...