9.14.2014

Pelajar UTP Cipta Pengecas Telefon Guna Haba Badan

Sunday, September 14, 2014 by MR Penyubiru ·
Labels: , ,


Di masa akan datang kita bakal menggunakan haba badan untuk mengecas telefon pintar kita. Selain dapat menjimatkan kos, ia juga bersifat mesra alam. Impian ini bakal menjadi kenyataan kerana seorang pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) berjaya mencipta pengecas telefon menggunakan haba badan sendiri.



KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tahun akhir kejuruteraan kimia telah merekacipta sebuah alat pengecas telefon pintar dengan hanya menggunakan haba daripada badan.

Peranti yang hanya perlu disambungkan kepada lengan seseorang akan menukarkan haba badan dan suhu sekitar kepada tenaga elektrik.

Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP), P. Sukesh Pandian berkata idea itu datang kira-kira setahun yang lalu.

"Idea mencipta alat ini datang tahun lepas kerana saya seorang pengguna tegar telefon pintar menyebabkan bateri cepat habis dan perlu mengecas telefon setiap tiga hingga empat jam," kata Sukesh ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau berkata kebanyakan pengguna turut bergantung kepada bank kuasa yang juga perlu dicas ketika berada di luar.

Mencari penyelesaian yang mesra alam, Sukesh mencipta alat peranti yang dipanggil ‘STATS Charger’.

Alat ini, menurut Sukesh, perlu dilekatkan di lengan untuk mengaktifkannya,  namun ia tidak membahayakan pengguna.

"Beberapa eksperimen telah dilakukan dan di peringkat pertama prototaip, keputusannya amat mengagumkan," katanya sambil menambah bahawa beliau kini sedang bereksperimen dengan bagaimana untuk membuat peranti lebih mesra pengguna.

Walau bagaimanapun, masalah yang dihadapi Sukesh adalah tidak mempunyai dana mencukupi untuk membawa ciptaannya ke peringkat global.



"Saya mahu membawa ciptaan ini ke Pertandingan Sains & Teknologi Bahan Amerika Syarikat 2014, yang akan mengambil tempat pada 12 hingga 17 Oktober ini, namun tidak mempunyai dana yang cukup untuk itu," katanya.

Ibunya, seorang ibu tunggal yang mengajar di sebuah tadika di Klang, tidak dapat mengadakan sejumlah RM16,000 yang diperlukan bagi menanggung kos yang diperlukan.

Jumlah itu merangkumi tambang penerbangan, yuran permohonan visa, penginapan, yuran pendaftaran pertandingan, makan-minum dan bayaran rencam lain.

Sukesh akhirya mencuba nasib meminta bantuan melalui Facebook dan statusnya telah dikongsi lebih 1,000 kali oleh keluarga dan rakan-rakan, termasuk ahli-ahli politik di negara ini.

Menurutnya lagi, beliau pada mulanya memohon pembiayaan melalui universiti, namun ditolak.

"Saya tidak tahu mengapa permohonan itu ditolak kerana tiada sebab tertentu yang diberikan.

"Mungkin pihak universiti melihat potensi dalam projek ini atau mungkin mereka tidak mempunyai dana untuk itu," katanya.

"Saya tidak mahu lagi merayu kerana kesuntukan masa. Pertandingan tinggal lagi sebulan," akhir kata Sukesh yang percaya ciptaannya akan membawa kemasyhuran kepada negara. -  ASTRO Awani

0 comments:

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik