9.04.2014

'Loom Band' Ditarik Balik di Britain Kerana Mengandungi Karsinogenik

Thursday, September 04, 2014 by MR Penyubiru ·
Labels: , ,


Loom band yang menjadi kegilaan golongan kanak-kanak dan remaja di Amerika Syarikat dan Britain telah ditarik balik penjualannya di United Kingdom selepas didapati mengandungi bahan kimia karsinogenik.

Pengawalan terhadap produk ini di Malaysia, bagaimanapun, masih tidak jelas, menurut Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia. 

Ini kerana loom band, iaitu getah aneka warna ditenun menjadi gelang, tidak dikategorikan sebagai kategori mainan.

"Kita ada Peraturan Standard Keselamatan bagi Mainan Kanak-Kanak 2010 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Walau bagaimanapun, masalah dengan pengawalan loom band di Malaysia adalah ia perlu diklasifikasikan sebagai mainan sebelum pihak berkuasa boleh berbuat apa-apa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif persatuan itu, Ratna Devi Nadarajan.

"Jika produk itu di bawah kategori mainan, tindakan boleh diambil. Tetapi ia masih tidak jelas kerana loom band adalah aksesori dan tidak bertujuan untuk dimasukkan ke dalam mulut," katanya.



Pada Ahad, peruncit mainan bebas terbesar di Britain, The Entertainer, menarik balik semua produk loom band dari 92 kedainya di seluruh negara setelah rancangan BBC Midlands Today melaporkan produk tersebut mengandungi 40 peratus phthalates.

Phthalates, bahan kimia yang mempunyai keupayaan mengganggu hormon, digunakan terutamanya untuk meningkatkan fleksibiliti dan meningkatkan pelbagai ciri-ciri lain plastik.

Walau bagaimanapun, Kesatuan Eropah menetapkan bahawa produk itu tidak mengandungi lebih daripada 0.1 peratus bahan kimia tersebut.

“Ia menjadi satu risiko apabila kanak-kanak tertelan produk itu. Di Kesatuan Eropah dan United Kingdom, pihak berkuasa secara terang-terangan boleh mengenakan larangan kerana mereka telah mengharamkan produk yang mengandungi sejumlah phthalates. Malaysia tidak mengambil tindakan seperti itu,'' kata Ratna.

"Manifestasi kanser dan gangguan endokrin akibat terdedah kepada bahan kimia tersebut akan lebih nyata setelah tempoh waktu yang lama. Ia juga bergantung kepada status kesihatan orang yang terdedah kepada dengan kimia itu," kata beliau, sambil menambah bahawa mesin tenun loom band masih boleh didapati di pasar raya di negara ini.

"Tanpa mana-mana peraturan, pihak berkuasa tidak boleh melakukan penarikan balik produk itu."

Ratna, yang juga Naib Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), berkata persatuan itu telah menerima dua pertanyaan daripada orang ramai setakat ini mengenai keselamatan dan peraturan loom band.



Tambah beliau, FOMCA telah berhubung dengan Kementerian Kesihatan untuk mengawal penggunaan phthalates dalam produk untuk kanak-kanak dan mengharamkan produk yang berbahaya.

Loom band dicipta tiga tahun lalu oleh Ng Cheong Choon, 45, yang dilahirkan di Malaysia yang kini menetap di Detroit, Amerika Syarikat.

Sejak itu, syarikatnya, Rainbow Loom, telah menjual lebih daripada empat juta unit di seluruh dunia.

Loom band pernah dilihat di lengan selebriti seperti David Beckham, Miley Cirus, Harry Styles dan Duke dan Duchess of Cambridge. - Astro Awani

0 comments:

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik