Sebanyak 10 pengunjung Taman Tema Legoland Malaysia di sini menempuh detik cemas apabila permainan roller coaster yang dinaiki mereka tiba-tiba terhenti dan tersangkut di pertengahan laluan disebabkan masalah teknikal hari ini.
Bagaimanapun dalam kejadian pukul 10.40 pagi itu, kesemua pengunjung
terbabit menghela nafas lega apabila kakitangan taman tema berkenaan
segera menghulurkan bantuan dengan menurunkan mereka yang tersangkut di
atas rel permainan yang dikenali sebagai Project-X itu.
Pengurus Perhubungan Awam, Jualan dan Pemasaran Legoland Malaysia,
D. Deviga berkata, Project-X itu dibuka semula kepada pengunjung pada
pukul 11.15 pagi setelah juruteknik membaikinya dan mendapat
pengesahan daripada pasukan keselamatan.
"Legoland Malaysia sentiasa mengutamakan keselamatan pengunjung dan
kita juga melatih semua kakitangan mengenai prosedur kecemasan khusus
ketika keadaan memerlukan.
"Operasi itu hanya tergendala kira-kira 15 minit sahaja sebelum
kembali pulih. Kejadian ini tidak melibatkan sesuatu yang serius kerana
kami sentiasa memantau semua permainan bagi menjamin keselamatan
pengunjung," katanya.
Tambah Deviga, pihaknya juga menggunakan prosedur khas bagi memastikan setiap masalah dikendalikan dengan cepat dan selamat.
"Semua kakitangan di sini diberikan latihan menyelamat bagi
memastikan pengunjung berasa selamat ketika berhibur bersama keluarga
dan rakan-rakan di sini," katanya. - sumber UTUSAN ONLINE
Baca seterusnya...