Kesian pula bila baca laporan berita di bawah. Mangsa mendakwa duitnya lesap duit setelah
mesin juruwang automatik (ATM) gagal berfungsi ketika dia mengeluarkan
wang. Tambah mengejutkan video CCTV menunjukkan individu lain yang mengeluarkan wang tersebut dan pihak bank tidak mahu bertanggungjawab.
KUALA LIPIS - Seorang kakitangan kerajaan di sini mendakwa kerugian
RM1,500 apabila wang yang disimpan dalam akaun sebuah bank lesap setelah
mesin juruwang automatik (ATM) gagal berfungsi ketika dia mengeluarkan
wang.
Mangsa, Mustafa Kamal Kamarudin, 51, berkata, kejadian berkenaan
berlaku di sebuah bank di Raub pada 27 November tahun lalu kira-kira jam
11.45 malam apabila dia berhasrat untuk mengeluarkan sejumlah wang
daripada akaun miliknya.
“Ketika itu, mesin ATM terbabit berfungsi seperti biasa namun setelah
saya memasukkan jumlah pengeluaran, tiba-tiba perkhidmatan mesin
terbabit tergendala.
“Kad ATM saya keluar seperti biasa namun wang tunai sejumlah RM1,500
bersama resit pengeluaran tidak dapat dikeluarkan. Saya mula bingung dan
menanti untuk beberapa minit namun wang terbabit masih tidak
dikeluarkan,” katanya semalam.
Mustafa Kamal berkata, pada keesokan harinya dia yang sedang dalam
perjalanan ke Negeri Sembilan berhenti di sebuah bank di Bentong untuk
mengeluarkan wang simpanan terkejut apabila melihat baki wang di dalam
akaun hanya RM513 sahaja.
Menurutnya, selepas pulang dari Negeri Sembilan, dia kemudiannya
membuat laporan kepada bank berkenaan kehilangan wang terbabit namun
pihak bank meminta tempoh sebulan untuk melakukan siasatan.
“Minggu lalu saya terima laporan daripada bank dan dalam laporan itu
tertera wang sejumlah RM1,500 dikeluarkan pada 27 November kira-kira jam
8.49 malam. Saya hairan kerana waktu di dalam laporan terbabit tidak
sama dengan waktu saya mengeluarkan wang.
“Saya kemudian meminta kebenaran pihak bank melihat kamera litar
tertutup (CCTV) bagi membuktikan saya tidak menerima wang berkenaan
namun pihak bank minta saya buat laporan polis dahulu,” katanya.
Mustafa Kamal berkata, setelah membuat laporan polis, pihak bank
kemudiannya membenarkan dia melihat CCTV berkenaan dan pegawai bank
terbabit mengesahkan bahawa dia tidak menerima wang simpanan berjumlah
RM1,500 itu.
“Saya kemudiannya menuntut pihak bank agar memulangkan kembali wang
terbabit namun saya terkejut apabila pegawai bank berkenaan memberitahu
bahawa tiada ganti rugi dalam kes seperti ini," katanya.
Dia melahirkan rasa kecewa kerana pihak bank terbabit seolah-olah lepas
tangan dan tidak mahu bertanggungjawab dengan kejadian yang berlaku
padanya. - Sinar Harian 30 Jan 2013
Baca seterusnya...