Sejak akhir-akhir ini tersebar mesej berkenaan panggilan missed call dari +375 dan +371 di laman sosial. Ramai yang turut menyebarkan mesej ini kepada kekawan mereka dan seterusnya mesej tersebut tersebar secara viral tanpa mengetahui adakah mesej tersebut benar atau tidak.
Laporan akhbar hari ini mendedahkan mesej tersebut adalah khabar angin yang tidak benar. Dakwaan ini disahkan oleh pihak polis.
Kuala
Lumpur: Polis mengesahkan dakwaan berhubung panggilan telefon yang
kononnya mampu menyalin maklumat peribadi termasuk senarai buku telefon
setiap individu yang menjawab panggilan berkenaan palsu dan hanya
khabar angin.
Difahamkan, khabar itu tersebar secara meluas dalam laman sosial
Facebook yang mendakwa ia dilakukan sindiket penipuan bagi mencuri
maklumat peribadi seseorang individu selain mengenakan bayaran
perkhidmatan yang tidak masuk akal.
Panggilan berkenaan
dikatakan bermula dengan nombor +375 dan +371 dari Belarus dan Latvia
serta mampu menyalin maklumat peribadi pemilik telefon berkenaan dalam
tempoh tiga saat sebaik panggilan dijawab.
Bagaimanapun, Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan
Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)
Bukit Aman Superintendan Victor Sanjos berkata, siasatan polis mendapati
maklumat itu tidak benar.
“Setiap pemanggil yang menjawab
panggilan itu akan dikenakan bayaran perkhidmatan panggilan
antarabangsa seperti yang ditetapkan syarikat telekomunikasi yang
dilanggan.
“Namun, dakwaan yang mengatakan maklumat akaun
bank atau buku telefon yang disimpan dalam telefon berkenaan mampu
disalin dalam tempoh tiga saat adalah palsu,” katanya ketika dihubungi
Harian Metro.
Semalam, laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM)
menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan panggilan berkenaan
bagi mengelakkan sebarang penipuan atau kejadian jenayah.
Menurut Victor, nasihat itu dikeluarkan bagi memastikan tiada sebarang
kes jenayah atau penipuan berlaku dan setakat ini, polis masih
menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun maklumat itu sudah disahkan palsu, tetapi
orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati kerana ditakuti penyebaran
itu sengaja dibuat anggota sindiket jenayah siber. - HMetro
0 comments:
Post a Comment