1.14.2013

Asal Usul Sudoku

Monday, January 14, 2013 by MR Penyubiru ·
Labels:

BERMAIN teka-teki yang memerlukan seseorang meneka angka dalam grid kotak, Sudoku, seolah-olah menjadi trend dalam kalangan orang ramai tanpa mengira usia dan latar belakang. 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, permainan itu perlahan-lahan mengambil tempat menerusi paparan di akhbar, majalah mahupun buku-buku yang secara meluas dijual di pasaran. 

Kehebatan teka-teki yang menduga akal pemainnya dalam mencari kaitan nombor antara petak-petak kecil itu mempunyai sejarah tersendiri.

Pada mulanya, ada seorang lelaki yang percaya bahawa permainan teka-teki seperti silang kata akan menjadi popular sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun selepas diperkenalkan. Siapa sangka, permainan yang diperkenalkan kurang 30 tahun dahulu, mula mendapat perhatian dan menjadi antara permainan atas kertas atau skrin telefon mudah alih yang paling digemari.

Kepekaan lelaki Jepun bernama Maki Kaji apabila melihat teka-teki bernombor, Number Place, di sebuah akhbar di Amerika Syarikat pada tahun 1984 menjadi titik tolak dalam penghasilan Sudoku dan disusuli pelbagai teka-teki lain di bawah syarikat beliau, Nikoli Co. Ltd. (Nikoli).



MAKI KAJI (kiri) seronok mendekati para pemain Sudoku dalam siri kejohanan di banyak negara.


"Ketika itu, saya tidak tahu apa syarat atau peraturan permainan yang tertera dalam majalah kecil itu. Walau bagaimanapun, saya cuba selesaikan menggunakan logik dan rasional sendiri. Selepas itu, apa yang saya lakukan ialah sedikit pengubahsuaian dan tampil dengan idea baharu," kata lelaki yang menjangkau usia enam dekad itu. 

Beliau yang menjadi tulang belakang 'jenama' Sudoku berkata, nama Sudoku terdiri daripada dua patah kata iaitu, su yang bermaksud nombor dan doku yang bererti tunggal.

"Ketika itu saya percaya, Sudoku ini akan menjadi trend pada suatu hari nanti di Jepun. Ini kerana sifat orang Jepun yang sukakan permainan penyelesaian yang mencabar. Namun, ia mestilah satu teka-teki yang boleh diselesaikan. 

"Pada masa yang sama, saya tidak sangka Sudoku akan berjaya mempengaruhi minda antarabangsa dalam masa kurang 30 tahun ia diperkenal," ujar Maki Kaji semasa ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

Serata dunia
Menurut perangkaan kasar Nikoli, 400 juta orang sudah mengenali teka-teki Sudoku dan 100 juta orang pula sudah berlatih permainan tersebut. Nikoli juga menganggarkan, Sudoku kini boleh ditemui di lebih 100 negara dunia dengan kira-kira 20 negara menggunakan Sudoku daripada syarikat Nikoli.

Lelaki yang berasal dari Hokkaido dan pernah menjadi antara lapan pemain tenis terbaik di Negara Matahari Terbit itu memberitahu, selepas menemui Sudoku, beliau turut menghasilkan 250 jenis teka-teki logik yang lain untuk pasaran Jepun. Permainan-permainan tersebut dibekalkan oleh Nikoli secara meluas menerusi penerbitan majalah namun, hanya Sudoku yang memiliki pengikut tersendiri dan di luar Jepun.

Sebagaimana reaksi beliau apabila pertama kali melihat permainan itu, Maki Kaji melihat generasi sekarang mempunyai sifat yang sama.

Buku Sudoku pertama Maki Kaji diterbitkan pada awal 1980-an. Ia mempunyai 28 muka surat dan mengandungi 10 teka-teki dan teka silang kata. 

"Sewaktu buku tersebut diterbitkan, saya lupa meletakkan tanda harga dan orang ramai tidak membelinya malah mendapatkan secara percuma. Selepas itu, saya mendekati sebuah toko buku di Tokyo dan minta buku itu dijual pada harga 10 yen. Kira-kira 300 salinan dijual dalam tempoh dua hingga tiga bulan," ujar lelaki itu yang mengimbas percubaan pertama menjual Sudoku.



KANAN: Semakin ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang meminati Sudoku.


Walau bagaimanapun, beliau mendapati ramai pelanggan tidak berpuas hati lantaran buku tersebut mengandungi beberapa kesilapan yang ketara hinggakan teka-teki beliau tidak boleh diselesaikan.
Akibatnya, beliau terpaksa memulangkan wang jualan untuk buku edisi pertamanya itu. 

Maki Kaji walau bagaimanapun tidak berputus asa. Selepas tiga tahun, bertungkus-lumus menghasilkan teka-teki Sudoku yang bebas kesilapan, beliau tampil dengan penerbitan buku kedua. Menariknya, ia menerima respons positif dengan jualan mencapai 10,000 salinan dalam tempoh masa setahun. Sambutan itu menjadi titik mula Maki Kaji membuka syarikat Nikoli dan menghasilkan lebih banyak majalah teka-teki lain terutamanya Sudoku.

Sumbangan ramai
Ditanya tentang keunikan teka-teki berangka dan cara ia dihasilkan, Maki Kaji mengakui kesemua usaha itu dijalankan oleh pengarang Nikoli yang berkolaborasi dengan kira-kira 50,000 orang penyumbang termasuk orang perseorangan yang bermain teka-teki itu. 

Katanya, oleh kerana pihak Nikoli sangat teliti dalam pemilihan teka-teki yang berkualiti, maka ia akan dirujuk dan diperiksa berkali-kali oleh sidang pengarang Nikoli. 

"Terdapat teka-teki Sudoku yang dibuang walaupun ia adalah hasil rekaan pengarang Nikoli sendiri. Jika ia gagal menawarkan kepuasan permainan Sudoku yang dikehendaki, maka ia dianggap gagal. 

"Oleh kerana hampir semua teka-teki dihasilkan oleh manusia, kami antara syarikat yang mengekalkan keunikan itu," katanya merujuk kepada kebanyakan Sudoku di pasaran yang dihasilkan menggunakan perisian komputer. 

Lebih dikenali dengan gelaran God Of Sudoku, Maki Kaji sebenarnya seorang yang sukakan cabaran, menyelesaikan teka-teki dan cepat bosan apabila membuat satu perkara yang sama berulang kali. Itu mungkin antara pencetus dirinya mampu merintis teka-teki bernombor itu.

Pelbagai bidang

Menyorot kisah hidup Maki Kaji, beliau sebenarnya merupakan seorang pelajar bidang kesusasteraan di Universiti Keio, iaitu antara institusi pengajian tertinggi swasta berprestij di Jepun. 

Bagaimanapun, beliau nekad untuk berhenti daripada pengajian itu kerana menurutnya, ia membosankan. Saat itu beliau sendiri berteka-teki dengan masa depan sendiri. Untuk melarikan diri daripada masalah tersebut, minat dan hala tujunya selepas itu lebih tertumpu untuk berjudi dan bermain tenis.

Berjudi bagi beliau adalah satu permainan yang menguji faktor kebarangkalian. Minat terhadap judi khususnya lumba kuda secara tidak langsung telah mempengaruhi nama Nikoli iaitu nama kuda yang terlibat dalam perlumbaan kuda Irish 2000 Guineas pada tahun 1980.

"Saya juga cuba bekerja di beberapa lapangan termasuk menjadi pekerja binaan, sebelum membina perniagaan penerbitan sendiri," katanya.

Populariti Sudoku Nikoli oleh Maki Kaji bertambah hebat apabila ia dibawa ke United Kingdom pada tahun 2005 selepas diterima baik di seluruh Jepun dan negara di sekitarnya. Langkah itu sekali gus menjadikan Sudoku diterima sebagai permainan teka-teki dunia.

Paling kreatif

Dalam satu artikel akhbar The New York Times, Nikoli disifatkan sebagai penerbit majalah permainan teka-teki logik yang merangsang kecerdasan otak dan paling kreatif di dunia. Ia juga mengakui Sudoku oleh Nikoli sebagai permainan teka-teki paling popular selepas teka silang kata.

Sungguhpun begitu, Maki Kaji memberitahu bahawa beliau sudah tidak bermain mahupun menghasilkan Sudoku pada masa sekarang.

"Sekarang saya hanya menikmati kehidupan ini dengan Sudoku. Misalnya dengan menghadiri kejohanan Sudoku di luar negara, menghadiri ceramah atau apa-apa pelawaan kehormat," jelas beliau.

Mencungkil sedikit cerita tentang keluarga, bapa kepada dua orang anak perempuan itu mendedahkan, tiada seorangpun daripada ahli keluarganya yang berminat dalam bermain Sudoku.
"Isteri saya akan menjadi orang terakhir di dunia yang akan bermain Sudoku," selorohnya sambil tersenyum. 

Maki Kaji ditemui di Malaysia selepas beliau menjadi tetamu kehormat bagi Kejohanan Sudoku oleh Persatuan Sudoku Malaysia. 

Beliau berharap semoga trend rakyat Malaysia yang mula meminati Sudoku akan meningkat supaya negara ini akan mengadakan lebih banyak kejohanan dan penglibatan antarabangsa dalam Sudoku.
Permainan teka-teki angka yang juga menjadi senaman minda kepada semua orang tanpa batasan usia itu juga diakui boleh menghindarkan pelbagai penyakit berhubung sakit tua termasuk nyanyuk dan Alzheimer.

Maki Kaji masih optimis dalam kepakarannya. Beliau mahu berkongsi wawasan untuk menghasilkan komuniti teka-teki bernombor bersama penerbit luar negara, tidak kira sama ada menerusi platform multimedia seperti permainan video, telefon bimbit atau permainan dalam talian di nikoli.com.
Akhbar Kosmo! merupakan akhbar berbahasa Melayu pilihan syarikat Nikoli untuk menyiarkan teka-teki Sudoku. Ia boleh didapatkan pada setiap hari Sabtu di muka surat 28. 

sumber : Kosmo

0 comments:

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik