Pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta
berpeluang membeli kereta PERODUA dengan bayaran serendah RM299 sebulan.
Tawaran itu diberikan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA)
yang juga pengeluar kereta nasional kedua, menerusi program pemilikan
kereta terbarunya iaitu ‘What’s Up Graduates’.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata program itu
adalah inisiatif PERODUA untuk memberi peluang kepada kumpulan pelajar
tahun akhir memiliki kenderaan sendiri tanpa bayaran pendahuluan.
Katanya, tawaran itu terbuka untuk semua model PERODUA Viva dan MyVi yang bermula semalam dan akan berakhir 31 Mac 2013.
Tunjuk kad pelajar
Beliau berkata, pelajar hanya perlu menunjukkan kad pelajar dan
membawa seorang penjamin bagi memohon tawaran berkenaan ketika
melaksanakan urusan jual beli kenderaan di semua cawangan PERODUA.
“Program ini ditawarkan kepada pelajar tahun akhir hanya untuk tempoh
bayaran bulanan bagi tahun pertama saja, sebab mereka ini bakal
memasuki alam pekerjaan sementara gaji pula masih kecil.
“Selepas tahun pertama, bayaran bagi tempoh seterusnya akan
beransur-ansur meningkat dari tahun ke tahun sehinggalah habis tempoh
pinjaman, sejajar dengan kenaikan gaji mereka,” katanya ketika berucap
pada majlis perasmian Expoconvo 2012 Universiti Malaysia Pahang (UMP),
Gambang, dekat sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP,
Prof Datuk Dr Rosli Mohd Yunus dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan
Antarabangsa), Prof Dr Badrulhisham Abdul Aziz.
Perlindungan insurans kemalangan
Selain pembelian kereta, Aminar Rashid berkata, kumpulan pelajar itu
juga akan menerima perlindungan insurans kemalangan bernilai RM20,000
secara percuma, di samping diskaun 50 peratus bagi servis asas di semua
pusat servis PERODUA di seluruh negara.
Dalam pada itu, Aminar Rashid yang juga Ahli Lembaga Pengarah UMP
berkata, penganjuran program Expoconvo itu penting untuk mempromosikan
pesta konvokesyen yang menjadi acara tahunan universiti berkenaan.
Program What’s Up oleh PERODUA
1. Terbuka untuk pelajar tahun akhir (IPTA & IPTS)
2. Model Viva & MyVi
3. Serendah RM299 sebulan
4. Tempoh: 10 Oktober 2012 -31 Mac 2013
5. Tiada bayaran pendahuluan
6. Kad pelajar + seorang penjamin
7. Perlindungan insurans RM20K secara percuma
8. Diskaun 50% untuk servis asas di pusat servis PERODUA
Sumber: Berita Harian
Baca seterusnya...