Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Sistem
Penguatkuasaan Automatik (AES) di 14 lokasi panas sekitar Perak,
Selangor, Putrajaya dan di ibu negara berkuat kuasa esok.
Pelaksanaan kamera berteknologi tinggi itu merupakan fasa pertama
yang terdiri daripada 10 lokasi bagi merakam kesalahan memandu melebihi
had laju dan empat lokasi lagi merakam kesalahan melanggar lampu
isyarat.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, pemasangan kamera
AES untuk 817 lokasi lagi akan dibuat dalam fasa kedua melibatkan
pelaksanaan di seluruh negara.
Beliau berkata, pelaksanaan AES adalah satu langkah serius kerajaan
untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya.
“Oleh itu, orang ramai harus melihat pelaksanaan AES sebagai cara
untuk mendidik pengguna jalan raya, bukan untuk memberi lebih kuasa
kepada JPJ untuk keluarkan saman,” katanya di sini semalam.
Menurut Solah, notis saman yang telah diproses dan disahkan akan
dihantar kepada pemilik berdaftar kenderaan dalam tempoh lima hari dari
tarikh kesalahan dirakam menggunakan sistem AES.
Katanya, jika pemilik berdaftar bukan merupakan individu yang memandu
kenderaan pada masa kesalahan dirakam, mereka boleh mengemukakan
maklumat pemandu kepada JPJ dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis
diterima.
“Dalam notis saman itu, maklumat kenderaan, tarikh kesalahan, jenis
kesalahan dan imej kenderaan yang dirakam akan disertakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Solah memberitahu, pengguna jalan raya boleh
mengetahui lokasi pemasangan kamera AES melalui papan tanda yang
dipasang sebelum mereka memasuki zon operasi kamera tersebut.
Tambahnya, bagi kamera yang merakam kesalahan memandu melebihi had
laju, papan tanda akan diletakkan dalam lingkungan dua hingga tiga
kilometer dari lokasi kamera AES dipasang.
“Bagi kesalahan melanggar lampu isyarat pula, papan tanda akan
dipasang dalam lingkungan 50 hingga 500 meter dari persimpangan lampu
isyarat.
“Selain itu, orang ramai juga boleh merujuk senarai lokasi pemasangan
kamera AES di laman web JPJ iaitu www.jpj.gov.my,” ujarnya.
Pemilik kenderaan yang menerima notis saman AES boleh mengajukan
pertanyaan dengan menghubungi Pusat Kawalan AES di talian 03-7846 4400
bagi negeri Perak dan 03-7628 8268 untuk negeri Selangor, Putrajaya dan
Kuala Lumpur.