PASTINYA ada yang akan marah dengan saya sebaik sahaja saya membuka
bicara mengenai penyu. Saya banyak menghentam mereka yang tidak
menghiraukan mengenai keadaan penyu di negara ini.
Pembasmian penjualan telur penyu juga menjadi antara agenda saya dalam memastikan pemuliharan spesies purba itu berterusan.
Matematiknya mudah. jika tidak dijaga, penyu akan pupus. Bila penyu
pupus, pelancong akan berkurangan atau mungkin akan terus menyepi.
Lihat apa yang terjadi di Rantau Abang, juga di Terengganu. Jika tahun
70-an dahulu, ia merupakan lokasi tumpuan daripada pelancong seluruh
dunia.
Malah ada pelancong yang sanggup mengembara dan menaiki kapal terbang
sehingga 20 jam hanya untuk berada di Rantau Abang melihat penyu
bertelur.
Namun keadaan tidak menyebelahi haiwan marin tersebut di mana habitat
mereka musnah dek kerana kerakusan manusia mengaut untung. Malah, mereka
menjadi haiwan yang sering diganggu sehingga pada satu peringkat, penyu
yang naik bertelur seolah-olah menjadi kuda tunggangan kepada pengujung
yang hadir melihat.
Atas beberapa perkara yang kurang molek itu, tahun lepas menyaksikan
tiada penyu belimbing naik bertelur dan sehingga kini, usaha untuk
membiakkan penyu belimbing melalui pembelian telur juga dilihat kurang
memberi kesan.
Tutup kisah sejarah Rantau Abang. Kali ini perkara yang sama berlaku di Pulau Perhentian. Juga mengenai kisah penyu.
Berani saya katakan di sini pengusaha pelancongan itu tidak ada hak
untuk beroperasi di situ disebabkan mereka tidak mempunyai sensitiviti
terhadap alam marin.
Lihat video rakaman mereka yang sempat saya muat turun di pautan ini di sini (kilk sini) dan anda nilaikan sendiri.
Sebelum ini mereka bangga dengan rakaman video tersebut yang dimuat naik ke laman Facebook mereka di sini (kilk sini), tetapi sudah dipadamkan. Nasi sudah menjadi bubur.
Komuniti yang cinta kepada pemuliharaan alam marin sudah mula bersuara.
Mereka marah dengan keadaan ini. Mereka menunding jari kepada pemandu
pelancong yang membawa pelancong untuk melakukan aktiviti snorkeling
berkenaan.
Ingin saya mengulas sedikit mengenai perkara ini. Mungkin ada yang akan
mencaci dan mencarut kepada pemandu pelancong muda itu dek disebabkan
perbuatannya memegang dan mengambil penyu agar berkenaan dan dengan
sengaja membiarkan para pelancong itu memegang penyu itu pula.
Bagi saya pemandu pelancong muda itu tidak bersalah sepenuhnya.
Kemungkinan dia orang pulau, orang Pulau Perhentian, di mana, penyu
adalah mainan mereka. Bagi mereka, mengambil dan memegang penyu itu
tidak salah. Tidak ada sesiapa yang beritahu kepada mereka. Malah sejak
mereka kecil, memegang dan bermain-main dengan penyu itu betul.
Dan ketika mereka sudah besar dan berkerja pula dengan syarikat
pelancongan, inilah masanya mereka hendak menunjukkan khazanah mereka
kepada pelancong.
Tanpa ada teguran daripada sesiapa, mereka merasakan perbuatan mereka betul.
Bagi saya sepatutnya kerajaan negeri dan juga bos syarikat pelancongan
itu sendiri yang perlu memberikan penerangan mendalam mengenai apa yang
boleh dan tidak dilakukan ketika berhadapan dengan penyu.
Kerajaan negeri dan bos pengusaha pelancongan itu yang salah. Mereka
yang sepatutnya mendidik pemandu pelancong agar menjaga habitat marin
dan tidak memegang apa-apa haiwan marin yang ada di negara ini.
Jika ingin dikenakan tindakan, kenakan kepada kerajaan negeri dan juga
bos pengusaha syarikat pelancongan tersebut. Pemandu pelancong itu perlu
diberikan kursus yang sesuai agar tindakan bodohnya itu tidak lagi
diulangi. Malah dia boleh menjadi ikon dalam aspek pemuliharaan
disebabkan laut perairan itu adalah 'playground' beliau.
Motto 'We'll Make Your Day' dengan mengambil penyu dan membiarkan
pelancong memegang spesies itu tidak lagi boleh dipakai. Dan saya ingin
ingatkan kepada pihak berkuasa, sila ambil tindakan dengan tegas!
*Imej dan video ini diambil dari laman Facebook mereka sebelum ia dipadamkan - Utusan Malaysia 07 Okt 2012
0 comments:
Post a Comment