8.29.2012

Naik LRT, Monorel dan Bas RapidKL Tanpa Had Dengan Tambang Hanya RM8 Sebulan

Wednesday, August 29, 2012 by MR Penyubiru ·
Labels:

Dengan hanya RM8, anda mungkin berpeluang menggunakan perkhidmatan LRT, monorel dan bas RapidKL turun-naik tanpa had selama sebulan – itulah peluang yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan pengangkutan awam itu bersempena dengan sambutan ulangtahun kelapannya.

Ditawarkan kepada 169 orang pemenang, pemilihan itu akan dibuat dalam satu peraduan istimewa yang akan dijalankan di laman web rasmi RapidKL, www.myrapid.com.my daripada 17 hingga 23 September ini.

“Kami memilih 169 pemenang berdasarkan kepada 166 laluan perkhidmatan kami – 166 laluan bas, 2 laluan LRT iaitu Laluan LRT Kelana Jaya dan Laluan LRT Ampang; dan satu Laluan Monorel,” kata Encik Khairani Mohamed, Pengarah Kumpulan Divisyen Rel Syarikat Prasarana Negara Berhad (PRASARANA), syarikat induk RapidKL.

Bercakap dalam satu sidang media bersama dengan Pengarah Kumpulan Divisyen Bas PRASARANA, Encik Zohari Sulaiman di Stesen LRT Masjid Jamek di Kuala Lumpur hari ini, Khairani berkata pemilihan pemenang adalah berdasarkan kepada pendekatan siapa-dulu-dia-dapat.





Pada majlis itu, Khairani dan Zohari turut melancarkan edisi sulung buletin Rapidria, penerbitan berkala yang akan diedarkan secara percuma kepada para penumpang LRT, monorel dan bas RapidKL bagi memaklumkan sebarang pengumuman, aktiviti dan informasi tentang perkhidmatannya.

“Anda hanya perlu melayari laman web kami dan mula membuat tempahan anda. Laluan-laluan ini akan dibuka secara berperingkat dan tanpa notis sepanjang tempoh peraduan ini,” kata Khairani, yang turut mengumumkan beberapa peraduan lain yang dianjurkan bersempena dengan sambutan ulangtahun ke 8 RapidKL.

Ini termasuk peraduan fotografi, yang akan berlangsung daripada 1 hingga 30 Oktober ini; peraduan melukis poster daripada 1 hingga 30 November ini dan Peraduan Tambah Nilai Kad, yang melayakkan peserta untuk memenangi pelbagai produk Samsung dan baucer tunai Sogo.
Melalui Rapidria, RapidKL turut menganjurkan peraduan Tanda dan Menang, yang melayakkan para peserta untuk memenangi 88 Kad MyRapid dan 88 kemeja T eksklusif kempen kesedaran pencegahan pencemaran alam sekitar ‘Ride for Green’.
“Program-program ini kami anjurkan bagi menyatakan penghargaan kami dan mengucapkan terima kasih kepada para penumpang yang telah menyokong perkhidmatan kami,” kata Khairani.
Dalam ucapannya, Khairani juga menegaskan bahawa bersempena dengan sambutan ulangtahun ke 8 ini, RapidKL memperkuatkan azam untuk terus berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka termasuk dengan penyediaan projek-projek baru untuk keselesaan para pengguna di samping bagi meningkatkan bilangan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam.
Ini termasuk perlaksanaan program-program baru seperti pembelian tren-tren baru untuk LRT dan monorel khususnya bagi menampung permintaan yang dijangka melonjak tinggi apabila siapnya projek sambungan jajaran LRT Laluan Kelana Jaya dan Ampang pada akhir 2014 ini.
Ketika berucap, Zohari berkata bahawa RapidKL Bas juga telah melaksanakan program-program baru selaras dengan misi syarikat untuk menjadi penyedia perkhidmatan berkelas dunia.
“Sepanjang lapan tahun lepas, kami bukan saja berusaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memperbanyakkan kuantiti bas; tetapi turut memperkenalkan program-program baru bagi memperhebatkan lagi kedudukannya dalam industri penyedia perkhidmatan pengangkutan bas awam di negara ini.
“Antaranya termasuk program ‘Lady Bus’ untuk keselesaan dan keselamatan penumpang-penumpang wanita; Bas Ekspres Transit atau BET untuk mereka yang menetap di luar Kuala Lumpur dan perlu awal ke pejabat dan kantor perniagaan untuk mencari rezeki.
“Kami juga memperkenalkan RapidPass untuk kemudahan pembayaran tambang bermusim; Rapid Mobiliti untuk membantu mereka yang kelainan upaya; memperbanyakkan bas akses sejagat agar komuniti OKU dapat turut bersama-sama menikmati kesenangan mobiliti dengan bas; dan penyediaan pemandu dan tenaga kerja terlatih melalui Akademi Bas.
“Pada masa sekarang, kami menyediakan perkhidmatan bas awam untuk lebih 1,100 kawasan perumahan di Lembah Klang dan Selangor dalam 166 laluan dengan lebih 800 bas beroperasi daripada sembilan depoh setiap hari,” kata Zohari, sambil menegaskan bahawa misi seterusnya adalah menggabungkan rangkaian 166 laluan bas RapidKL dengan ketiga-tiga laluan rel dengan menggunakan satu sistem tiket bersepadu Automatic Fare Collection (AFC).
“Kerja-kerja persediaan sedang giat dijalankan dan pengintegrasian bas dan rel ini dijangka dilaksanakan tahun depan,” kata Zohari, yang turut mengumumkan projek baru Sistem Pengesanan Lokasi Bas atau ‘Fleet Tracking System’ (FTS), yang kini dalam fasa akhir dalam perlaksanaannya.
“Melalui sistem ini, Pusat Kawalan Bas (BCC) di ibupejabat RapidKL Bas di Jalan Klang Lama boleh memerhatikan pergerakan bas-basnya di semua 166 laluan. Pusat itu juga boleh berkomunikasi dengan semua pemandu bas dan memaklumkan kepada beliau maklumat-maklumat penting untuk membantu meningkatkan lagi perkhidmatan,” tambah Zohari.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pengurus Hal Ehwal Media Prasarana Azhar Ghazali di talian 019-3837865 atau Haliza Abd Hamid di 019-2210058.


0 comments:

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik