7.26.2012

Kakitangan Awam Di Selangor Dapat Bonus Setengah Bulan Serta Bonus Tambahan

Thursday, July 26, 2012 by MR Penyubiru ·
Labels:

Jika semalam Datuk Seri Najib umumkan bonus raya 2012 untuk seluruh kakitangan awam di Malaysia, hari ini Kerajaan Selangor pula umumkan bonus raya 2012.

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor mengikut jejak langkah Kerajaan Pusat apabila meluluskan pemberian bonus setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM500 kepada semua kakitangan awam negeri itu bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor turut memberi bonus tambahan dalam bentuk Simpanan Selangorku sebanyak RM200 kepada setiap kakitangan awam.

"Bagi yang beragama Islam, wang ini akan dimasukkan dalam Simpanan Tabung Haji manakala bukan beragama Islam akan diberikan dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kedua-dua bonus itu akan dimasukkan ke dalam akaun kakitangan awam pada minggu hadapan.


Katanya, kerajaan negeri itu memperuntukkan RM20 juta untuk pembayaran bonus dan bonus tambahan Simpanan Selangorku kepada kakitangan awam pada tahun ini.

"Kami berharap bonus ini dapat meringankan beban penjawat awam untuk membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Pada masa sama, Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor mahu menggalakkan kakitangan awam untuk menabung demi masa depan.

Isnin lepas, beliau berkata kerajaan Selangor akan membayar bonus kepada kakitangan kerajaan negeri jika kerajaan Persekutuan membayar bonus kepada kakitangan awamnya.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada semua penjawat awam. Ini termasuklah bayaran khas juga sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Bayaran bonus yang akan dimanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan itu akan dibuat pada 9 Ogos. - mStar Online

0 comments:

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik