4.18.2012

Perhatian Kepada Pengguna LRT, Elak Paksa Diri Naik Tren Padat

Wednesday, April 18, 2012 by MR Penyubiru ·
Labels:

KUALA LUMPUR — Para pengguna pengangkutan transit aliran ringan (LRT) dan monorel hendaklah mengutamakan keselamatan dan tidak memaksa diri mereka memasuki tren yang padat.

Pengarah Kumpulan Bahagian Rel RapidKL Khairani Mohamed berkata para pengguna hendaklah bergerak ke belakang apabila mendengar penggera pintu berbunyi menandakan pintu akan ditutup bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau berkata para pengguna mestilah mengutamakan keselamatan melebihi segala-galanya dan sentiasa bertimbang rasa apabila mahu memasuki tren.

"Kami sering melihat pengguna cuba memaksa diri mereka memasuki tren yang penuh dengan penumpang dan langsung tidak menghiraukan keselamatan... ia sangat bahaya bagi mereka kerana pengguna mestilah berada di belakang garisan kuning dan memasuki tren dengan tertib,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.


Khairani berkata keselamatan menjadi keutamaan dalam operasi RapidKL dan syarikat berkenaan melakukan pemeriksaan berkala pada tren dan aspek keselamatan lain setiap hari sebelum memulakan operasi harian.

Beliau merujuk insiden yang berlaku kepada seorang penumpang wanita yang cedera di Stesen Monorel Bukit Bintang pada 9 Feb apabila tangannya tersangkut di pintu tren.

Khairani berkata insiden yang membabitkan seorang tele-pemasaran Lim Chui Hong, 24, dirakam oleh kamera keselamatan dan mendapati wanita berkenaan berusaha untuk menaiki tren beberapa kali meskipun penggera pintu sudah berbunyi menandakan pintu akan ditutup.

Katanya tren berkenaan terus bergerak dan mengheret Lim kira-kira dua meter sebelum dia berjaya melepaskan tangannya dan terjatuh di atas lingkungan landasan selepas pekerja stesen memberi amaran kepada pemandu supaya memberhentikan tren.

— BERNAMA



0 comments:

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik