12.28.2011

(Video) Seorang Kanak-Kanak Cedera Diserang Siamang Zoo Melaka

Wednesday, December 28, 2011 by MR Penyubiru ·
Labels:

MELAKA TENGAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun parah pada betis kanan selepas diserang seekor siamang dipercayai seberat 38 kilogram ketika sedang bersiar-siar bersama keluarganya di Zoo Melaka, Ayer Keroh, dekat sini, petang kelmarin.

Akibat kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Muhammad Afiq Haziq Kamarul, terpaksa menjalani pembedahan selama kira-kira tiga jam di Hospital Melaka (HM), selepas betisnya dilaporkan hampir hancur digigit haiwan itu.

Ketika dikunjungi di Hospital Melaka petang semalam, anak keenam daripada tujuh beradik berasal dari Klang, Selangor ini, dilihat masih lemah dan seolah-olah dalam ketakutan.


Ibunya, Anita Sulaiman, 36, berkata beliau sekeluarga tidak menyangka berdepan detik paling mencemaskan kerana menganggap haiwan di zoo terbabit jinak dan tidak membahayakan kerana dibiar bebas di kawasan laluan pengunjung.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga sedang berjalan untuk melihat kawasan menempatkan burung dan tidak bercadang melihat siamang atau nama saintifiknya hylobates syndactalus.

“Dalam sekelip mata, sekumpulan pengunjung berhampiran haiwan itu kelihatan bertempiaran lari dan berteriak meminta tolong dan tidak lama selepas itu, haiwan ini meluru ke arah Muhammad Afiq dan menyerangnya.

“Saya menjerit terkejut dan suami yang awalnya tidak menyedari kejadian itu bertindak pantas memegang kepala haiwan itu tetapi ia tetap tidak melepaskan gigitan pada kaki Muhammad Afiq.

“Gigitan itu hanya dilepaskan selepas seorang pengunjung berhampiran menendang perut haiwan itu,” katanya ketika ditemui di wad kanak-kanak HM, petang semalam.

Anita yang datang ke negeri ini bagi menghadiri majlis kenduri kakaknya di Semabok berkata, beliau dan suaminya membawa Muhammad Afiq ke pejabat Zoo Melaka untuk mendapatkan bantuan rawatan, sebelum diarah membawa mangsa ke klinik kesihatan tetapi kes itu dirujuk ke HM kerana kecederaan dialami serius.

“Anak saya dibedah bermula jam 9 pagi tadi (semalam) dan selesai tiga jam kemudian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Zoo Melaka, Masri Mohd Arop dalam kenyataan media kepada Berita Harian petang semalam, memohon maaf kepada keluarga mangsa atas kejadian itu.

“Zoo Melaka turut bersedih dengan kejadian menimpa Muhammad Afiq dan bersedia membantu termasuk menanggung kos rawatannya,” katanya.

Masri berkata, ini kejadian pertama berlaku di Zoo Melaka dan siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti puncanya, manakala haiwan itu sudah ditangkap dan diasingkan untuk kuarantin. - Berita Harian

Video kanak-kanak tersebut diserang Siamang di Zoo Melaka.






Laporan susulan selepas kejadian tersebut.

MELAKA: Siamang yang menyerang dua kanak-kanak di Zoo Melaka kelmarin, sudah ditangkap dan dikuarantin pihak zoo sebagai langkah keselamatan.

Pengarah Zoo Melaka, Ahmad Azhar Mohammed berkata langkah itu prosedur lazim pihaknya bagi mengelak haiwan berkenaan terus mengganas dan menyerang pengunjung.

Katanya, kejadian serangan siamang terhadap manusia adalah pertama kali berlaku sejak Zoo Melaka ditubuhkan pada 1963 dan pihaknya amat terperanjat dan dukacita dengan kejadian itu.

“Sebenarnya insiden seperti ini tidak pernah berlaku di Zoo Melaka. Bukan tabiat siamang menyerang manusia. Saya berpendapat mungkin berlaku provokasi oleh manusia hingga menyebabkan tekanan dan ia terkejut lalu bertindak balas menyerang manusia,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, siamang yang kini berjumlah enam ekor di Zoo Melaka, tidak diletakkan di dalam sangkar besi sebaliknya ditempatkan di habitat berbentuk pulau dikelilingi air kolam buatan.

Katanya, sifat semula jadi siamang dan ungka tidak boleh berenang dan tidak suka kepada air menyebabkan ia jarang keluar dari habitatnya itu.

“Siamang adalah haiwan yang amat menjaga sempadan habitatnya dan bergerak dalam koloni tertentu mengandungi ibu dan anak serta tidak boleh diletakkan dalam koloni yang banyak spesis jantan kerana ia akan bergaduh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Azhar berkata pihaknya membantu meringankan beban keluarga mangsa dengan memperuntukkan polisi insurans tanggungan awam kepada setiap pelawat.

“Zoo Melaka amat dukacita dengan kejadian itu (serangan) dan memohon maaf. Ini adalah kejadian pertama di zoo ini.

“Pihak kami akan menyiasat secara terperinci mengenai kejadian ini dengan mendapatkan kerjasama pakar berkaitan di negara ini.

“Saya difahamkan ketika kejadian ada petugas zoo di kawasan berhampiran di kandang landak selain penyelia dan mereka segera memberi bantuan apabila mengesan kedudukan mangsa,” katanya. - Harian Metro



0 comments:

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik