8.26.2011

PLUS Perkenal Jadual Perjalanan Bezakan Kenderaan Bernombor Akhir Genap Dan Ganjil

Friday, August 26, 2011 by MR Penyubiru ·
Labels:

PETALING JAYA, 24 Ogos (Bernama) -- PLUS Expressways Bhd (PLUS) memperkenalkan jadual perjalanan dengan membahagikan kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor ganjil dan genap bagi melancarkan perjalanan di lebuh raya sempena musim cuti Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ini.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata langkah ia bertujuan memisahkan kumpulan pengguna lebuh raya dari utara dan selatan termasuk mereka yang ingin pulang berhari raya pada saat-saat akhir menuju ke Lembah Klang dari 1 hingga 4 Sept.

"Pengguna lebuh raya dari utara dan selatan yang akan kembali ke ibu kota pada 1 hingga 4 Sept dinasihatkan memasuki lebuh raya setiap jam genap sebelum 12 tengah hari iaitu 8 pagi dan 10 pagi bagi kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor genap manakala kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor ganjil disarankan menggunakan lebuh raya pada setiap jam ganjil sebelum 12 tengah hari iaitu pada 9 pagi dan 11 pagi," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Noorizah berkata bagi semua kenderaan dicadangkan waktu yang sesuai untuk memasuki lebuh raya sebelum 8 pagi dan selepas 6 petang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas bagi ketiga-tiga hari itu.

Beliau menasihatkan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan supaya mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan ketika waktu menjelang perayaan Aidilfitri dan kembali ke ibu kota bagi memastikan kelancaran trafik.

Jadual perjalanan yang dicadangkan untuk pengguna dari Lembah Klang ke utara dari Sabtu hingga Isnin ini iaitu :

* Perlis, Kedah dan Pulau Pinang ialah sebelum pukul 12 tengah hari;
* Taiping, Kuala Kangsar dan Changkat Jering antara 12 tengah hari hingga 3 petang;
* Ipoh, Simpang Pulai dan Gopeng antara pukul 3 dan 6 petang;
* Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim selepas 6 petang.

Bagi perjalanan dari selatan pula jadual yang dicadangkan bagi Johor ialah:
* Skudai, Johor Baharu, Senai dan Kulai sebelum 10 pagi;
* Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak antara 10 pagi dan 1 petang;
* Melaka melalui Ayer Keroh antara 1 petang hingga 3 petang;
* Tampin dan Alor Gajah melalui Simpang Ampat antara 3 hingga 6 petang;
* Senawang, Port Dickson dan Seremban selepas 6 petang.

PLUS juga memperkenalkan jadual perjalanan bagi pengguna lebuh raya dari utara yang ingin pulang ke Kuala Kangsar dan Ipoh serta dari Ipoh menuju ke Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim pada 1 hingga 4 Sept ini.

* Dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang melalui Juru serta Changkat Jering dan Taiping ke Kuala Kangsar dan Ipoh antara 1 hingga 6 petang;
* Ipoh, Simpang Ampat dan Gopeng ke Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim antara 4 hingga 6 petang.
* Dari Melaka melalui Ayer Keroh, Alor Gajah dan Tampin melalui Simpang Ampat ke Senawang, Port Dickson dan Seremban antara 4 petang dan 6 petang.

Noorizah berkata semasa perayaan Aidilfitri tahun lepas, 50 peratus pengguna lebuh raya mengikuti jadual TTA yang dikeluarkan oleh PLUS bagi membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya sejak diperkenalkan 2007.

PLUS menjangka jumlah trafik di lebuh raya di Lebuh Raya Utara-Selatan akan meningkat 30 peratus kepada 1.4 juta kenderaan sehari pada waktu puncak berbanding 1.1 juta kenderaan pada hari biasa.

Noorizah berkata sejumlah 3,000 kakitangan PLUS dan 430 anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam, St Johns Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah ditempatkan di plaza tol dan Kawasan Rehat dan Rawat sepanjang lebuh raya manakala 159 pasukan PLUSRonda akan membuat rondaan selama 24 jam sehari selain lebih 1,000 kaunter tol dibuka untuk memudahkan urusan pembayaran tol.

Pegawai Turus Penguatkuasa Polis Diraja Malaysia Supt Hamzah Ahmad, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata lebih 300 anggota polis ditempatkan di kawasan-kawasan terpilih di sepanjang lebuh raya mulai hari ini hingga 6 Sept bagi mengawasi keadaan lalu lintas.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya PLUS menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik.

-- BERNAMA



0 comments:

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik