8.17.2011

Lagi Kes Simbah Asid - Batu 9, Cheras

Wednesday, August 17, 2011 by MR Penyubiru ·
Labels:

KAJANG - Seorang pemuda bukan sahaja kehilangan komputer riba malah muka dan belakang badannya turut melecur apabila disimbah sejenis cecair dipercayai asid di Batu 9, Cheras di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 11 malam itu dikatakan berlaku ketika mangsa yang berusia 25 tahun memandu kereta dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di Taman Midah, Cheras di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rasyid Ab. Wahab berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa mendapati tayar keretanya pancit menyebabkan dia berhenti di tepi jalan untuk menukar tayar.

"Sejurus selepas berhenti, sebuah kereta dinaiki dua lelaki berhenti di sebelah kereta mangsa.

"Salah seorang daripada lelaki itu turun dari kereta dan terus menyimbah sejenis cecair ke badan mangsa," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, kedua-dua lelaki itu kemudian cuba melarikan kereta mangsa namun gagal kerana kunci kereta mangsa berada dalam poket seluarnya.

Suspek kemudian merampas sebuah komputer riba mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian.

Mangsa masih dirawat di sebuah hospital dan kecederaan di muka dan belakangnya stabil.





Dalam pada itu, Polis Kuala Lumpur semalam mengedarkan fotofit (gambar lakaran) seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian rompakan menggunakan asid di sebuah stesen minyak Shell Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi pada 26 Julai lalu.

Lakaran suspek itu diperoleh selepas polis menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilokasi kejadian.

Polis menyeru orang ramai yang ternampak mana-mana individu menggunakan kereta Proton Wira dengan nombor pendaftaran WLC 1475 supaya tampil memberi maklumat.

Kosmo! pada 27 Julai lalu melaporkan seorang penghantar surat cedera di muka dan badan selepas disimbah asid manakala wang syarikatnya berjumlah RM18,000 dikebas sekumpulan perompak di Batu 2 1/2 Jalan Sungai Besi di sini.

Sebelum kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang mengisi minyak didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira.

Salah seorang suspek kemudian bertindak menyimbah asid ke arah mangsa dan merampas beg berisi wang itu sebelum melarikan diri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops di talian 03-21159999. - Kosmo

0 comments:

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik