6.23.2011

Program Kemapanan Dicapai Menerusi Kecekapan Tenaga (SAVE) Mulai 7 Julai

Thursday, June 23, 2011 by MR Penyubiru ·
Labels:

KOTA KINABALU - Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan melancarkan Program Kemapanan Dicapai Menerusi Kecekapan Tenaga (SAVE) pada 7 Julai ini, bertujuan menjimatkan tenaga untuk jangka masa pendek dan panjang, kata menterinya Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Katanya, program itu adalah bagi memastikan jaminan bekalan tenaga yang berterusan, sekaligus menyumbang kepada usaha menangani fenomena pemanasan global.

“Pada peringkat awal, Program SAVE akan melibatkan pelaksanaan inisiatif peralatan elektrik baru yang memperkenalkan prinsip pemberian rebat kepada pengguna untuk pembelian peralatan elektrik cekap tenaga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Kecekapan Tenaga Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

Di bawah program itu, beliau berkata, pembeli akan menikmati rebat sehingga RM200 bagi setiap peralatan cekap tenaga yang telah diuji berpandukan sistem penarafan yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga iaitu Piawaian Minimum Prestasi Tenaga (MEPS).


Jelasnya, peralatan berkenaan akan ditandakan dengan label bintang, yang mana jumlah bintang tertinggi iaitu lima dikategorikan paling cekap tenaga.

Selain peralihan kepada penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga, beliau berkata, amalan cekap tenaga juga seharusnya dipupuk dan dibudayakan supaya masyarakat tidak menghadapi masalah kekurangan elektrik.

Mengenai situasi bekalan elektrik yang kritikal di Sabah, Chin berkata, tarif elektrik di negeri ini akan disemak semula agar Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tidak dibebani dengan kos bahan api yang semakin meningkat untuk menjana elektrik.

“Setiap tahun, SESB mengalami kerugian. Bagi setiap unit elektrik yang dijual kepada pengguna, SESB rugi sebanyak lima sen. Kita mahu SESB berfungsi seperti sebuah entiti yang berupaya beroperasi dengan pengaliran wangnya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, SESB menerima dana modal daripada kerajaan pusat sebanyak RM1.849 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan dan Kesembilan, manakala dana operasinya sebanyak RM2.663 bilion dalam tempoh tersebut juga tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Pada majlis itu, Chin turut melancarkan Kanun Grid Sabah dan Labuan yang merupakan instrumen kawal selia bagi menyelaraskan pelbagai aktiviti pembekalan elektrik di Sabah dan Labuan.- Bernama

0 comments:

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik