6.23.2011

Lebuh Raya LATAR Bebas Tol Sehingga 31 Ogos

Thursday, June 23, 2011 by MR Penyubiru ·
Labels:



KUALA LUMPUR: Pengguna Lebuh raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) milik Kuala Lumpur Selangor Expressways Berhad (KLSEB) tidak akan dikenakan bayaran tol selama dua bulan bermula pembukaannya tengah malam ini sehingga 31 Ogos.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata langkah itu menunjukkan bahawa kerajaan prihatin dalam membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat pada masa ini.

"Sebab itu kita ada rebat atau diskaun (bayaran tol) masa musim perayaan seperti Hari Raya Puasa, Krismas, Deepavali dan Tahun Baru Cina dan sebagainya," katanya ketika merasmikan lebuh raya berkenaan dekat Plaza Tol Rimba Templer di sini.

Pembinaan lebuh raya sepanjang 33km itu dengan kos RM958 juta dibiayai sepenuhnya oleh KLSEB menghubungkan Kuala Selangor, Assam Jawa, Ijok, Batang Berjuntai, Kota Puteri, Puncak Alam, Shah Alam, Bukit Jelutong, Sungai Buloh, Kundang, Rawang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Lebuh raya yang mula dibina sejak Oktober 2008 itu mempunyai tiga plaza tol iaitu Plaza Tol Assam Jawa, Plaza Tol Kuang Timur/Barat dan Plaza Tol Taman Rimba Templer.




KLSEB memegang konsesi lebuh raya berkenaan selama 40 tahun.

Shaziman berkata dengan pembukaan lebuh raya berkena, masa perjalanan dapat dikurangkan dengan memberikan contoh perjalanan dari pekan Ijok ke Kuala Lumpur akan mengambil masa 30 minit sahaja berbanding sejam setengah sebelum ini.

Beliau berkata, kadar tol yang ditetapkan bagi lebuh raya berkenaan dari 2011-2015 ialah bagi kelas satu iaitu kenderaan yang mempunyai dua gandar dan tiga atau empat roda kecuali teksi dan bas ialah RM2, kelas dua iaitu kenderaan yang mempunyai dua gandar lima roda atau enam roda kecuali bas ialah RM4.

Bagi kelas tiga iaitu kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih kecuali bas dikenakan caj RM6, kelas empat iaitu teksi (RM1) dan kelas lima iaitu bas (RM4), katanya. Shaziman berkata kerajaan turut mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM150 juta untuk pengambilalihan tanah untuk projek lebuhraya berkenaan.

Katanya lebuh raya berkenaan merupakan satu daripada projek Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) iaitu jaringan lebuh raya yang menghubungkan lebuh raya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Antara rangkaian KLORR yang telah siap adalah Lebuhraya Corridor Guthrie (CGE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang dan sebahagian Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), katanya.

Katanya, Lebuh Raya Latar turut dihubungkan dengan Lebuh Raya Pantai Barat sepanjang 286km.

"Apabila Lebuhraya Pantai Barat siap sepenuhnya, pengguna akan dapat meneruskan perjalanan sehingga ke persimpangan Changkat Jering di Lebuh Raya Utara-Selatan melalui kawasan pantai barat negeri Perak.

"Laluan ini akan menjadi laluan alternatif kepada Lebuh Raya Utara-Selatan yang semakin sesak," katanya. - BERNAMA


0 comments:

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik