2.19.2011

Berhati-hati Ketika Solat di Surau R & R

Saturday, February 19, 2011 by MR Penyubiru ·
Labels:



Memang tidak dinafikan surau adalah tempat untuk orang beribadat. Justeru, manusia-manusia yang meramaikan surau juga merupakan manusia yang patuh dan takut kepada Allah s.w.t. Tapi, ada juga manusia yang tidak takut akan azab Allah, di tempat yang mulia seperti surau pun, manusia jenis ini sanggup melakukan perkara mungkar iaitu mencuri barangan orang lain yang sedang menunaikan ibadah.

Jadi, kepada mereka yang menggunakan surau di R & R PLUS, berhati-hati ketika meninggalkan barangan berharga anda di surau tersebut. Kerana dalam ramai-ramai yang berada di surau itu, ada syaitan bertopengkan manusia. Sila berhati-hati.

Ambil iktibar dari laporan berita di bawah





KUALA LUMPUR 16 Feb. - Memikirkan surau adalah tempat ibadat dan mungkin tiada siapa tergamak melakukan jenayah di situ, seorang wanita tanpa curiga menyerahkan beg tangan kepada anaknya sementara dia mengambil wuduk.

Namun, tanggapan wanita terbabit meleset kerana rupa-rupanya kesempatan itu digunakan oleh seorang jemaah untuk mencuri dompet dalam beg tangan yang dipegang anaknya yang berusia tujuh tahun itu.

Kakitangan kerajaan, Zalina Othman, 36, berkata, dia mengalami insiden itu semasa berhenti untuk menunaikan solat maghrib di surau Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Sungai Buloh dekat sini, kelmarin.

Zalina berkata, tiba di R&R tersebut, dia bersama anak perempuannya telah masuk ke dalam surau wanita yang terletak bersebelahan tandas dan agak jauh dari kawasan tumpuan ramai.

"Saya yang menyangka keadaan dalam surau selamat meminta anak saya duduk seketika sementara saya pergi mengambil wuduk di paip berhampiran.

"Tanpa syak wasangka, saya menyerahkan beg tangan kepada anak saya dan memintanya agar memegang erat beg tersebut," katanya.

Ketika itu, kata Zalina, dia menyedari ada kelibat seorang wanita memakai telekung tergesa-gesa membuka telekung sebelum membaling kain tersebut ke lantai surau.

Katanya, dia memang hairan dengan tindakan wanita berkenaan kerana tergesa-gesa meninggalkan surau tanpa melipat atau meletakkan telekung yang dipakai.

Tidak lama selepas itu, Zalina terkejut apabila dimaklumkan anaknya bahawa wanita terbabit telah melarikan dompet yang disimpan dalam beg tangannya.

"Saya terkejut apabila anak saya memberitahu dompet saya telah dilarikan oleh wanita yang sebelum itu dilihat bersembahyang dalam surau.

"Kejadian itu berlaku terlalu pantas sehinggakan anak saya tidak sempat menjerit meminta tolong," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zalina berkata, dia cuba bertanya kepada beberapa wanita lain yang turut berada dalam surau mengenai kejadian itu, namun tiada siapa menyedari perbuatan suspek.

Katanya, dia sendiri hanya mengingati suspek memakai tudung dan berbaju putih, malah bertambah malang kerana tempat kejadian tidak dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV) menyebabkan wanita terbabit gagal dikesan.

Tambah Zalina, kejadian itu menyebabkan dia kehilangan wang tunai, MyKad, lesen memandu, kad nikah dan beberapa kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Saya memang tak sangka ada individu tergamak berpura-pura bersembahyang untuk mencuri di surau.

"Saya dimaklumkan kejadian menimpa saya bukanlah pertama kali dilaporkan berlaku di R&R tersebut kerana beberapa mangsa lain turut pernah membuat laporan polis," katanya sambil memberitahu kes tersebut dilaporkan di Balai Polis Damansara Damai dekat sini pada hari yang sama.

Utusan Online


kredit gambar : umairzulkefli.blogspot.com

1 comments:

HaSue said...
Saturday, 19 February, 2011

perghh..wanita lak tu..sadis tul laa..iskh

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik