3.30.2010

Himpunan Berita Letupan di Moscow

BEBERAPA anggota bomba dan penyelamat merawat mangsa letupan di stesen Park Kultury, Moscow semalam.

MOSCOW - Dua pengebom berani mati wanita membunuh 37 orang manakala 38 cedera parah dalam dua buah tren bawah tanah yang dipenuhi penumpang pada waktu pagi di sini semalam.

Letupan pertama berlaku di gerabak kedua sebuah tren pada pukul 7.58 pagi waktu tempatan di stesen Lubyanka, dekat ibu pejabat perkhidmatan keselamatan dalam negeri Rusia, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) menyebabkan 23 orang terbunuh.

Kira-kira 40 minit kemudian, satu letupan berlaku di gerabak kedua sebuah tren lain di stesen Park Kultury dan membunuh sehingga 14 orang.

Ketua FSB, Alexander Bortnikov berkata, serangan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Caucasus Utara yang melancarkan pemberontakan menentang pihak berkuasa pro-Kremlin.

Datuk Bandar Moscow, Yuri Luzhkov memberitahu pemberita bahawa pengebom berani mati wanita melakukan serangan tersebut.

Pendakwa raya menyatakan satu siasatan mengenai pengganas dimulakan selepas pakar-pakar forensik menemui rangka seorang pengebom berani wanita.

Beberapa saksi berkata, suasana panik berlaku di kedua-dua stesen itu dengan ramai orang berlari dan sebahagiannya rebah ekoran asap tebal serta debu selepas letupan berlaku.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengutuk serangan itu manakala Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin berikrar bahawa pihak bertanggungjawab yang melakukan serangan tersebut akan ditangkap. - Agensi

sumber : Kosmo





Letupan di Moscow: Wisma Putra Sahkan 3 Pelajar M'sia Selamat

PETALING JAYA: Wisma Putra malam semalam mengesahkan tiga pelajar perubatan Malaysia, Elaine Chew, Sim Eih Xing dan Er Chee Kent, terselamat daripada dua kejadian letupan di Moscow awal pagi tadi.

Mereka adalah pelajar tahun akhir Moscow Medical Academy.

Kesemua mereka yang berusia 24 tahun, telah enam tahun berada di Moscow. Sim dan Er adalah pelajar lelaki.

Wisma Putra mengesahkan, ketiga-tiga rakyat Malaysia itu telah menerima rawatan di hospital dan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Chew dan juga Er, berada bersama ketika letupan pertama berlaku di Stesen Metro Lubyanka pada jam 8 pagi waktu Moscow (12 tengah hari waktu Malaysia).

Sementara Sim pula menjadi mangsa letupan kedua lebih kurang 45 minit kemudian dekat stesen Taman Kultury.

Wakil Kedutaan Malaysia di Moscow dan juga Jabatan Penuntut Malaysia akan melawat ketiga-tiga mereka dalam tempoh terdekat ini. Dalam pada itu, Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Mohamad Khalis Ali Hassan menasihati para pelajar Malaysia supaya mengambil langkah berhati-hati ketika bergerak menggunakan kenderaan awam dan pada masa yang sama meminta ibu bapa supaya tidak terlalu khuatir.

Beliau berkata, buat masa ini, terdapat lebih kurang seribu pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Rusia.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi berkata, beliau telahpun mengarahkan Jabatan Penuntut Malaysia supaya segera melawat pelajar Malaysia yang tercedera itu.

“Malah saya dimaklumkan bahawa semua pelajar tajaan MARA seramai 650 pelajar di Moscow selamat dan tidak terlibat dengan kejadian letupan itu,” ujarnya.

sumber : mStar Online

0 comments:

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik