7.24.2009

Harap-harap Perempuan Ni Bukan Jiran Aku

Friday, July 24, 2009 by Mr PenyuBiru ·
Labels:


SOALAN:

SAYA wanita pertengahan umur dan kini menjadi isteri kedua. Sebelum ini perkahwinan pertama saya gagal selepas diceraikan suami pertama yang tidak bertanggungjawab.

Ketiga-tiga anak saya sudah besar dan boleh berdikari. Tiga tahun lalu saya berkahwin kali kedua dengan suami orang tanpa pengetahuan isteri pertamanya. Segala keperluan saya diberikan oleh suami baru termasuk sebuah rumah.


Pada asalnya, rumah itu dibeli untuk isteri pertamanya, namun ia ditukar milik ke atas nama saya selepas suami berbohong dengan mengatakan rumah berkenaan sudah dilelong bank.

Suami jarang balik untuk bersama saya, mungkin kerana dia sibuk dengan isteri pertama. Namun, saya tidak kisah kerana itu sebahagian perjanjian yang kami berdua sudah persetujui.

Saya tidak tahu mana hala tuju isteri pertamanya dan saya tidak pernah mahu ambil tahu. Apa yang saya ingin kongsikan dengan Dang Setia ialah sejak beberapa bulan kebelakangan ini hati saya terpaut dengan seorang jiran.

Dia suami orang, punyai isteri yang agak cantik dan ada empat anak yang sudah besar. Mungkin si dia tidak memahami gerak laku saya yang bersahaja untuk cuba menggodanya.

Saya amat cemburu melihat kebahagiaan mereka sekeluarga dan menjadi amat benci melihat isterinya. Pelbagai cara sudah saya lakukan untuk mendekati si dia dan menyakiti hati isterinya.

Dang Setia, saya berasa seperti sudah jatuh cinta buat kali ketiga. Saya perhatikan si dia baik orangnya, bertanggungjawab dan rajin ke masjid bersama dua anak lelakinya. Selepas pulang dari masjid dia akan keluar berkerja bersama-sama isteri dan anak-anaknya.

Adakalanya saya sengaja melakukan perkara di luar batasan terutama pada awal pagi. Adakalanya tidak kira waktu. Pelbagai taktik dan teknik saya lakukan dengan harapan si dia akan menoleh dan bertegur sapa dengan saya.

Setakat ini semua usaha saya gagal, tapi saya belum putus asa dan tidak akan jemu untuk terus berusaha mendekatinya. Tolonglah saya Dang Setia, apa perlu saya lakukan kerana saya benar-benar terpikat kepadanya.

ISTERI RESAH,

Kuala Lumpur

Jawapan:

Puan minta tolong daripada Dang Setia dengan menekankan puan benar-benar terpikat dengan jiran puan yang berstatus suami orang itu. Adakah itu bermaksud puan mahu Dang Setia memberi tip atau cara-cara bagaimana memikat suami orang dengan berkesan?

Jika itu yang puan inginkan, maaf Dang Setia tidak dapat membantu kerana Dang Setia sama sekali tidak mahu bersubahat melakukan perkara dilarang Allah.

Apa yang dapat Dang Setia bantu ialah memberi nasihat kepada puan supaya insaf dan sedar apa yang puan lakukan sekarang adalah satu kesalahan. Jadi, puan perlu segera menghentikannya sebelum timbul masalah pada masa depan.

Dang Setia yakin, puan cukup tahu sebagai umat Islam, dalam apa jua perkara yang kita lakukan, hukum agama wajib menjadi perkiraan utama. Jika apa yang kita lakukan berdosa, tinggalkan ia dan ketepikan semua sebab serta alasan lain.

Soal cinta, rindu dan sebagainya bukan alasan yang mampu mengatasi peraturan ditetapkan Allah. Biarpun puan belum lagi menjalin apa-apa hubungan dengan jiran berkenaan, perasaan cinta puan terhadapnya serta usaha puan memikatnya, sudah jelas perbuatan curang pada suami yang hukumnya berdosa.

Adakah puan cukup kuat atau hebat dan sanggup menghadapi seksaan Allah di akhirat, hanya kerana cinta dan rindu pada seorang lelaki lain yang beristeri dan mempunyai anak?

Subjek utama di sini mudah saja iaitu berfikir dan bertindaklah dengan mengikut akal fikiran yang waras serta panduan syariat Islam, bukannya mengikut gejolak hawa nafsu.

Apa yang puan lakukan sekarang jelas mengikut nafsu. Jadi, kembalilah ke landasan kehidupan yang sebenar sebelum puan tergelincir lebih jauh.

Jangan lupa, puan sudah bersuami. Biarpun puan berstatus isteri kedua dan puan tak kisah suami puan jarang pulang untuk bersama puan, itu tidak bermakna puan boleh curang kepada suami.

Selagi bergelar isteri, tidak kisahlah isteri keberapa sekalipun, puan tetap terikat dengan perilaku serta tanggungjawab sebagai isteri. Gagal mematuhi peraturan dan tanggungjawab itu, puan berdosa kepada suami dan Allah SWT.

Pada pandangan Dang Setia, masalah yang membelenggu diri puan banyak berpunca daripada kegagalan puan dan suami menjalani cara kehidupan berumah tangga sebagaimana disarankan Islam.

Dalam Islam jelas dinyatakan tempat seorang isteri adalah di sisi suami dan begitu juga sebaliknya. Ini bukan bermakna seorang suami isteri disuruh berkepit 24 jam, tapi ia bermaksud, perhubungan antara suami isteri perlu rapat.

Untuk mewujudkan hubungan yang rapat, sudah tentu cara terbaik ialah suami isteri perlu tinggal bersama. Jikapun suami berkahwin lebih daripada satu, dia wajib bersikap adil dengan membuat jadual penggiliran di antara isteri-isterinya.

Secara mudah, Islam menyarankan jika kita sudah berkahwin, hiduplah cara orang sudah berkahwin dan bukan seperti orang bujang. Sebagai Pencipta kita, semestinya arahan Allah ini baik dan sesuai dengan fitrah semula jadi kita.

Jika kita tidak mengikut saranan ini, bermakna kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan fitrah manusia. Justeru, akan tercetuslah masalah dalam kehidupan kita.

Sehubungan itu, Dang Setia menasihatkan puan supaya perbetulkanlah cara hidup puan dan suami. Puan tidak boleh berkata tidak kisah biarpun suami jarang pulang kerana ia sudah dipersetujui sejak awal.

Hakikatnya, puan kena kisah. Ini kerana, disebabkan tidak kisahlah puan kini berasa kesunyian, hingga terdorong melakukan kemungkaran selepas timbul perasaan cinta terhadap suami orang.

Jika cara hidup puan tidak berubah, puan berisiko tinggi untuk terus melakukan perbuatan bertentangan ajaran Islam. Justeru, tegur suami dengan berhemah supaya dia bersikap adil terhadap kedua-dua isterinya.

Suami yang mengamalkan poligami perlu faham jika dia gagal menjalankan tanggungjawabnya dan kegagalan itu menjadi punca isterinya melakukan kemungkaran, suami berkenaan turut bertanggungjawab terhadap dosa isterinya.

Akhir sekali, bersyukur dan hargailah perkahwinan yang puan miliki kini. Puan pernah gagal dalam perkahwinan pertama, jadi puan sepatutnya belajar daripada kegagalan itu dan memastikan perkahwinan kedua puan tidak menempuh jalan serupa.






3 comments:

cahayachenta said...
Friday, 24 July, 2009

ada ada baca citer ni kat paper... apa punya pompuan.. seriously GATAL!! kot yer pun tak yah la desperate sangat...

RAJA NORAZAH RAJA ISA said...
Friday, 24 July, 2009

memalukan kaum perempuan je..wacaaaaaaaa...

Hahn 3rd said...
Friday, 24 July, 2009

Kalaulah....
kalaulah...
kalaulah dia jiran aku...

hehehehe....hahahahaha

Jangan lupa "Follow"

Jangan Lupa "Like"

Popular Minggu Ini

Entri Santai Terkini

Arkib

Menarik Tertarik